Monday, 20 August 2012

Rendang Ayam Resepi Ibu

Petang semua, dekat nak raya ni mesti korang nak masak rendang kan,. Rendang ayam satu masakan sinonim dengan kita orang melayu, orang peranakan dan seluruh nusantara. Paling popular bila menjelangnya hari2 perayaan seperti hari raya. Selain ayam, daging juga amatlah sesuai dibuat rendang.  Semalam Xed buat rendang ayam cili padi, agak pedas tapi nyaman. Xed buat seringkas yang boleh, guna santan kotak saja dan Xed letak juga rempah rendang keluaran Baba's. Kalau takde anda boleh ganti dengan rempah kari (ibu Xed la yang cakap). Bahan2 wajib ada dalam rendang, semestinya serai, santan, buah keras, lengkuas, halia, kunyit dan kerisik. Untuk perasa selain garam, gula melaka juga diletakkan. Kalau siapa yang guna serbuk perasa, boleh juga dimasukkan. Selalunya rendang agak kering atau berkuah pekat. Sedap dimakan dengan nasi putih, nasi minyak, ketupat, roti dan sebagainya. Ok jomm kita lihat resipi pula...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam saiz besar, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
1 kotak santan (Xed guna santan MS - 200 ml)
2 keping asam gelugor
1 camca besar penuh gula melaka
3 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, satu disiat, satu dimayang halus
400 ml air
2 1/2 camca besar kerisik
2 camca besar rempah rendang Baba's (boleh ganti dengan rempah kari)
Garam secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
5 biji buah keras
1 genggam cili padi kampung
1 inci kunyit hidup
5 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan rempah rendang, kacau rata dan terus menumis hingga terbit minyak, guna api sederhana dan kacau selalu. Masukkan ayam dan gaul rata. Biar ayam kecut.
Tambah daun limau purut, daun kunyit yang disiat, santan dan juga air, kacau rata dan biar mendidih. Tambah kerisik, asam gelugor dan sedikit garam. Kacau lagi dan masak dengan api pecil hingga rendang pekat dan ayam masak.
Masukkan gula melaka dan tambah garam secukup rasa. Kacau dan masak sekejap lagi, terpulang pada anda nak rendang yang lebih kering atau sedikit berkuah. Masukkan daun kunyit yang dimayang halus, gaul rata dan matikan api. Boleh hidangkan.. 




Perhhhhhh... Dimakan bersama ketupat nii. memang menjilat jari nih..



Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang resepi ini, tengoklah video ini, tp dalam bahasa omputih la.


Selamat hari raya. Berhati-hati di jalan raya dan kurangkan bermain mercun.

Sunday, 19 August 2012

Mengapa Masakan Ibu Paling Sedap?


Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?
Kata orang, itulah penangan 'air tangan'. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut'bersama bahan-bahan masakan.
Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah 'air' dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan 'air tangan'. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.
Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk 'mendapat' tetapi untuk 'memberi'. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk 'memberi' kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang 'chef' yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.
Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.
Realitinya, 'air tangan' bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.
Falsafah di sebalik 'air tangan' inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:
"Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya."